Catatan
sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini.
Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih
punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal
Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah
Harakah Islamiyyah.
Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi
aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang
nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS
yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan
masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat
seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.
Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah
hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya
berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa
kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada
beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik
Ustaz Azizan.
Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan
dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz
Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan
pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub
oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba
juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua
belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas
kedatangan itu.
"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir
dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan
diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz
Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar
menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta
ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari
anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan
keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz
Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami
juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh
disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu
teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis
laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam
pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi,
Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis
menekupkan mulut dengan tangan.
TGHH memegang dahi Ustaz Azizan
yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH
mengeluarkan kalimat ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima
tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi
khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta
sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah
dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan,
tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung
rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana
akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada
sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk,
matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku
segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff
Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey.
Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.
Ustaz Azizan
mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas
dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat
di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor
tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua
akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz
Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip
dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia
menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang
terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam
esakkan.
TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya
sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak
kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin
mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang
menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.
Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina
kerana Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci
ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun
lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab
apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan
palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan
ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada
catatan ini.
Sanusi Md Noor
No comments:
Post a Comment